Di Sebalik Cermin Kaca...


Gambar hiasan





Sudah buat keputusan, Dalilah?”

“Ila belum terfikir lagi, Abah. Ila hendak habiskan belajar dahulu”



Dua tahun kemudian;

“Kali ni sudah bersediakah belum?”

“Ila hendak kerja dulu”



Sudah dua kali aku menolak permintaan abah. Sudah dua kali aku menolak niat murni abah. Bukan aku tidak tahu sakitnya hati bila permintaan kita ditolak. Sangat tahu. Namun ketika abah bertanyakan keputusan aku ketika itu, mindaku tidur. Mataku pejam. Aku tidak tahu betapa baiknya niat bapa angkatku itu ketika itu. Semuanya untuk menjaga agamaku. Kini baru aku tahu. Kini baru aku sedar. Kini baru aku terjaga. Aku terbangun oleh perjalanan hidup yang tidak semudah aku sangkakan . Percaturan hidup yang tidak seindah aku fikirkan.




Aku tergadah. Aku pasrah. Aku banyak membuang masa memerhati dan menunggu di sebalik cermin kaca ini. Umpama barang yang cantik dan mahal dalam almari kaca berkunci. Bukan seorang. Bukan dua orang, tetapi beratus-ratus orang atau mungkin beribu-ribu orang yang lalu di depan almari kaca itu. Semuanya dengan pelbagai ragam. Ada yang memandang dengan sepintas lalu. Ada yang memandang dengan penuh kekaguman. Ada yang memandang dengan penuh ketelitian. Tidak kurang juga ada yang memandang sambil mencebik. Apa yang aku pasti mereka hanya mampu memandang, tetapi tidak mampu memiliknya. Habis siapakah yang aku tunggu?



“Hafiz berkirim salam, Dalilah” kata seorang teman ketika aku mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)

“Hafiz? Siapa Hafiz?”Aku memang tidak mengenali lelaki bernama Hafiz. Tentu dia dari kelas lain. Kacakkah dia? Tegapkah dia? Lelaki ramping atau montel tidak ada dalam kamus hidupku. Gadis cantik hanya sesuai bergandingan dengan lelaki yang kacak. Barulah ada perumpamaan ‘Bagai cincin dengan permata’, bukan ‘Bagai pinang dibelah dengan kapak’.

Rupanya Hafiz adalah lelaki yang selalu menampakkan giginya setiap kali aku melangkahkan kaki ke kafeteria Maktab. Orangnya bukan jenisku. Sudahlah rupanya tidak sedap mata memandang, badannya ramping mengalahkan aku. Namun semua komentar itu aku simpan dalam hati. Senyumannya aku balas dengan membulatkan mataku yang bulat ini.



“Hai Dalilah, bagaimana kalau saya belanja awak makan tengah hari di luar?” pelawa seorang rakan sekelasku bernama Azman satu hari.

“Adakah awak bermaksud mengajak saya keluar?”

“Tidak! Saya hanya perlukan teman untuk makan tengah hari.” Aku sukakan lelaki ini. Dia berwajah manis, tinggi, berbadan sederhana dan suka menolong.

“Awak sangat baik hati, Man. Terima kasih banyak-banyak. Saya agak sibuk tengah hari ini” Aku sukakan seorang lelaki yang berani dan jujur. Azman berani memulakan langkah tetapi tidak bersikap jujur pada diri sendiri. Pandangan matanya tidak boleh menipu hatiku.



“Saya cinta pada awak, Dalilah” kata seorang rakan sekerjaku pada awal tahun kedua aku mengajar. Aku memang sukakan lelaki ini. Dia seorang yang bersopan, berwajah lembut dan jujur tentang perasaannya. Namun aku tidak mahu terburu-buru. Bagaimana boleh aku berkata ‘Aku juga menyintaimu’ sedangkan aku belum begitu mengenalinya.

“Awak berguraukah, Fuad? Kita baru saja berkenalan.”



“Jeff, maafkan saya. Saya tidak mahu membuang masa awak dan saya. Saya juga tidak mahu awak berhabis kredit menghubungi saya setiap hari. Apa maksud awak selalu menghubungi saya?” aku bertanya kepada seorang abang anak muridku pada pertengahan tahun ketiga aku mengajar.

“Saya cintakan awak, Dalilah. Awak adalah cinta pandangan pertama saya.”

“Saya sukakan awak, Jeff. Awak comel. Awak baik tetapi saya tidak boleh menipu diri sendiri. Saya tiada rasa apa-apa yang istimewa terhadap awak. Saya minta maaf. Saya harap kita masih boleh terus berkawan.”








Cinta? Siapa yang tidak ingin merasai nikmat percintaan? Aku juga ingin merasai dicintai dan menyintai, tetapi aku tidak pernah mendapatkannya. Siapakah yang aku tunggu? Aku inginkan seorang lelaki yang menyintaiku kerana diriku. Jika mereka sanggup menyintai kegembiraanku, mereka juga mesti sanggup menyintai kesedihanku. Jangan hanya menyintai kecantikanku, tetapi cintai juga kehodohanku. Payah sangatkah untuk menyintaiku dengan hati yang ikhlas?



“Saya berhasrat untuk memperkenalkan awak pada orang tua saya pada cuti pertengahan semester ini, Dalilah” kata seorang kenalan lelaki bernama Zarul pada tahun keempat aku mengajar. Dia baru aku kenali dalam tempoh tiga bulan. Walaupun kami baru berkenalan tetapi dalam tempoh tiga bulan itu banyak telah kami bualkan melalui telefon atau Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Aku merasakan seolah-olah telah lama mengenalinya.

Aku sangat teruja. Belum pernah mana-mana kenalan lelakiku sebelum ini bersedia memperkenalkan aku kepada orang tua mereka.

“Saya akan jemput awak di stesen bas”

Akhirnya perkenalan kami tamat di stesen bas itu.



Apakah salahku? Aku berasa seperti terkena sumpahan. Sumpahan lelaki-lelaki yang pernah aku kecewakan dahulu. Aku merasakan aku tidak layak menerima cinta sesiapa pun.



“Saya suka berkawan dengan awak Hamizan, tetapi saya tidak mahu berselindung dengan awak. Rupa saya tidaklah secantik dalam gambar. Umur saya tidaklah semuda yang awak sangkakan. Maafkan saya” kataku pada seorang kenalan SMSku pada tahun kelima aku mengajar. Dia tidak menghubungi aku lagi selepas itu. Dia hanya lelaki yang menyintai kecantikan dan keremajaan.



“Awak tahu tak, Dalilah?”

“Tidak tahu. Apa dia?”

“Hafiz sudah selamat bernikah dengan gadis semaktab kita juga. Senyum memanjang dia hari tu. Al Maklumlah dapat isteri yang cantik.”

“Alhamdulillah…”



“Saya memang suka berkawan dengan sesiapa saja, Dalilah. Tetapi untuk pasangan hidup, saya lebih sukakan wanita yang jauh lebih muda daripada saya.” Kata Azman satu hari. Pada satu hari dahulu apabila akhirnya aku bersetuju untuk keluar makan tengah hari dengannya. Aku lahir tiga tahun lebih awal daripadanya. Tentu sekali aku bukan pilihannya. Hatiku tersilap menduga selama ini. Dia mungkin pernah sukakan aku, tetapi kesukaannya itu hanya untuk mengisi masa lapangnya. Oleh itu aku angkat kaki sebelum dia angkat kaki terlebih dahulu. Dalam hati aku berdoa, ‘Semoga dia hidup bahagia dengan wanita yang lebih tua daripadanya satu hari nanti’.



“Dalilah, saya telah selamat bernikah sebulan yang lepas. Awak bila lagi?” Fuad mengirim mesej selepas setahun dia berpindah kerja ke negeri kelahirannya. Cepat betul hati lelaki terubat. Begitu mudah mereka melupakan.

“Tahniah. Semoga rumah tangga awak kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Insyaallah, ada rezeki ada jodoh kemudian hari berkahwinlah saya”



“Assalamualaikum Dalilah. Lama tidak mendengar cerita awak. Awak sudah berkahwin?” Jeff menghubungiku satu hari pada tahun ini.

“Belum lagi. Awak sudah ada special girl friend?” Aku bertanya sebagai seorang kawan.

“Sudah”

“Alhamdulillah. Bagus untuk awak.”



“Saya minta maaf banyak-banyak, Dalilah. Perjumpaan itu dibatalkan.” Zarul menghantar mesej selepas dua jam aku menunggunya di stesen bas,

“Ya?”

“Awak tak apa-apakah?” Zarul menghantar pertanyaan bodoh.

“Tak. Saya tak apa-apa. Jangan risaukan saya.” Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui betapa marahnya aku ketika itu. Aku tidak menyintainya tetapi aku ingin segera menamatkan zaman bujangku ketika itu. Aku sudah tidak percayakan percintaan sebelum perkahwinan. Bagiku cinta boleh dipupuk secara perlahan-lahan. Namun semuanya hancur berkecai. Aku sangat marah. Marah pada diriku kerana menyimpan harapan. Marah pada Zarul kerana bermulut manis.



Aku berasa amat kerdil. Harga diriku terasa dipijak-pijak. Aku tidak tahu di mana hendak aku sembunyikan mukaku ini.Aku berasa amat malu. Teramat malu. Aku masih lagi berada di dalam almari kaca berkunci. Bukan untuk dipandang. Bukan untuk dikagumi. Bukan untuk dicebik. Aku masih berada di situ kerana aku tiada pilihan.



Hanya ALLAH sandaranku. Hanya iman yang setipis kulit bawang ini menyebabkan aku belum bosan menjadi baik. Hanya ALLAH harapanku; membuat aku percaya mungkin ALLAH sengaja mahu aku berjumpa orang yang salah sebelum aku menemui orang yang betul. Aku percaya ALLAH Maha Pemurah lagi Maha Kaya. Setiap pemberian pasti ada hikmah di sebaliknya.




Gambar hiasan : Milik siapakah hati ini?


 





(Cerita ini hanya rekaan semata-mata. Tiada kaitan dgn yang masih hidup@ yang telah tiada. Kalau kebetulan ada, sowilah.Jangan pula terasa...wakakaka ;P Saja hendak try ada bakat ke tak. )

Ulasan

Catat Ulasan

BACAAN POPULAR

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Mahalnya Sumbangan PIBG

BAHAYA POLISTERIN: Tolong Berhati-hati