KBAT: Relevankah?

Bismillah...

BEBERAPA bulan sebelum saya berhenti mengajar di sekolah, saya sempat mengikuti latihan memperkenalkan sistem Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan iThink. Saya masih ingat, pertama kali kami warga guru diperkenalkan dengan perkataan KBAT dan iThink ini di bilik mesyuarat oleh seorang jurulatih yang sudah saya lupa nama dan jawatannya.

Latihan di bilik mesyuarat itu berjalan dua kali, sebelum kami para guru diberikan ultimatum untuk terus mengaplikasikannya di kelas. Saya masih ingat lapan peta pemikiran iThink atau “thinking maps” yang wajib ditampal di belakang kelas kerana diwajibkan oleh guru besar.

Peta tersebut adalah peta pelbagai alir, peta buih, peta buih berganda, peta alir, peta dakap, peta bulatan, peta titi dan peta pokok.
Bagaimanapun sudah pastilah saya agak skeptik dengan projek ini. Saya tidak dapat memahami aspirasi orang luar yang tiba-tiba datang ke sekolah kami dan mula mengajar-ajar guru bagaimana mengajar dan lebih dahsyat, memaksa kami menggunakan kerangka lapan peta ini ke dalam semua mata pelajaran. Jadi saya tidak mengajar satu peta pun kepada anak murid, mahupun menampal peta-peta berkenaan di belakang kelas. Dan itu kurang lebih dua tahun lalu.



Hari ini saya pasti, anak-anak di sekolah sudah fasih dengan lapan peta ini, yang pada asalnya dicadangkan oleh Kestrel Education, sebuah syarikat perunding dari United Kingdom. Hanya Tuhan yang mengetahui berapakah bayaran diterima syarikat ini untuk memperkenalkan projek ini di Malaysia pada 2011-2012 dulu.

Lima tahun berlalu sejak Kestrel Education mendapat projek ini, dan beberapa hari lepas Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan di Dewan Rakyat menyatakan “kelemahan guru punca 60% sekolah hadapi masalah KBAT”, seperti dilaporkan portal Astro Awani.

Beliau merujuk kepada statistik yang mewakili 60% daripada 282 sekolah rendah dan menengah yang dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.
Dan pasti, ini sangat memedihkan hati 421,828 orang guru yang bertungkus lumus menghafal lapan peta pemikiran serta berdozen “thinking tools” yang lain.

Mengapa hanya guru saja yang dipersalahkan? Mengapa Pasukan Pemandu Melatih Guru tidak dipersalahkan? Mengapa Jurulatih Kebangsaan yang melatih Pasukan Pemandu tidak dipersalahkan? Atau mengapa agaknya, Kestrel Education syarikat yang dipertanggungjawabkan melatih Jurulatih Utama, yang mendapat manfaat kewangan daripada kerajaan Malaysia tidak dipersalahkan?

Sebenarnya yang salah dalam hal ini adalah sistem perlaksanaan yang tidak demokratik dan kepimpinan autokrasi dan kuku besi yang selama ini diamalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sejak berpuluh tahun, guru dan anak murid tidak pernah diberi kebebasan untuk menjalankan pendidikan dalam wilayah mereka sendiri. KPM sendiri adalah ibarat agama, yang perlu dipatuhi oleh semua. Sekolah bahkan tidak pernah punya autonomi untuk menggembleng atau mereka cipta pendidikan yang bersesuaian dengan cita rasa lokal.

Buktinya, wahyu untuk menggunakan KBAT dan  iThink ini diturunkan oleh Kestrel Education, sebuah syarikat perunding dari UK kepada KPM, tanpa sumbang saran oleh guru atau murid sendiri.

Jadi hari ini kita perlu berhenti sejenak dan bertanya semula kepada guru: adakah mereka gembira dengan perlaksanaan KBAT dan  iThink ini? Adakah anak-anak menunjukkan peningkatan dari sikap dan cara berfikir mereka di dalam kelas?

Dan yang lebih penting adalah, setelah hampir lima tahun menjalani proses penataran, tidak pernah sekali pun masyarakat didedahkan dengan kajian saintifik mengenai projek ini di sekolah? Apakah kesannya kepada pedagogi guru? Apakah kesannya kepada mental dan psikologi guru? Apakah kesannya kepada anak di sekolah?

Apakah, kita sebagai masyarakat, ibu dan bapa, serta anak-anak langsung tidak penting sehingga suara kita semua tidak diperlukan atau didengari? Mengapa, kita sebagai masyarakat, tidak dibenarkan untuk berpartisipasi dengan aktif dalam hal sepenting ini?

Malah jauh lebih mustahak untuk dibincangkan adalah mengapa hanya pada 2011-2012 hal seperti berfikir aras tinggi ini menjadi keutamaan pihak KPM? Apakah yang sudah terjadi kepada program Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) di sekolah?
Dan mengapakah kita memerlukan sebuah pelaksanaan khusus melalui syarikat perunding dari luar negara semata-mata mahukan anak-anak di sekolah kita berfikir jauh lebih tinggi berbanding sebelum 2011?

Apakah sekolah nasional dan kurikulum kita sebelum itu gagal menerapkan budaya berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan anak murid? Dan jika kita perlu menjawab soalan ini dengan jujur, siapakah yang gagal sebenarnya? Apakah guru yang gagal mengajar di dalam kelas? Atau adakah kita sebagai masyarakat yang gagal menyediakan anak-anak untuk berfikir dengan betul?

Beberapa hari lalu, sepucuk surat oleh ibu bapa yang risau menggemparkan masyarakat di media sosial. Tulisan bertajuk “Error in reading exam question” oleh “The Worried Malaysian” itu menjelaskan dengan begitu baik bagaimana anaknya boleh tersilap membaca soalan dan menyatakan dengan terperinci bagaimana kesilapan kecil seperti tersalah menjawab soalan Bahasa Inggeris dalam SPM ini boleh menyebabkan seluruh hidup anaknya pada masa depan terjejas.

Kebergantungan hidup kepada peperiksaan ini sebenarnya sejenis penyakit, sama seperti penyakit melaksanakan KBAT di sekolah tanpa berunding dahulu dengan pihak guru dan anak murid.

Tetapi KBAT hanyalah simptom, contoh klasik bagaimana sebuah dasar boleh dilaksanakan secara “top-down” di negara ini. Hanya mimpi atau wahyu yang diperlukan oleh pemimpin, dan semuanya akan dilaksanakan. Dan nampaknya, penyakit ini bukan saja dihidapi oleh pihak kementerian, bahkan juga oleh ibu dan bapa yang terlalu bergantung kepada peperiksaan.

Hari ini, satu-satunya kejayaan KPM adalah mencipta sebuah masyarakat yang sangat bergantung kepada peperiksaan. Daripada ibu bapa sehingga kepada guru, sistem pendidikan kita nampaknya belum mula untuk bergerak daripada berorientasikan peperiksaan.

Sebenarnya, KBAT bukanlah benda baru dalam kurikulum nasional. Ia hanyalah sebuah penjenamaan semula, yang pada akhirnya mencipta peluang kepada penerbit buku latihan untuk menampal perkataan KBAT untuk menjadikannya relevan dalam pasaran dan menjuruskan masyarakat kita ke dalam sebuah masyarakat yang bertuisyenkan KBAT.

Awal Oktober yang lalu, saya melawat sebuah sekolah swasta di Petaling Jaya. Sekolah ini mengamalkan “disruptive education”, sejenis pembaharuan pemikiran dalam pendidikan yang dimulakan di Amerika.

Sekolah ini tidak mempunyai guru, dan anak-anak menetapkan sendiri ruang pembelajaran mereka. Mereka boleh memilih untuk melakukan aktiviti dengan dibantu oleh fasilitator.

Di seluruh dunia, idea “unschooling” sudah mula tumbuh kerana sistem pendidikan tradisional yang berasaskan meja, kerusi, kelas dan guru mengajar di depan berdasarkan umur anak, sudah tidak lagi relevan untuk zaman ini. Sistem berkenaan dicipta untuk memenuhi kehendak revolusi industri pada awal 1900.

Dalam lawatan itu, saya melihat dengan mata dan kepala bagaimana anak sekecil 10 tahun menerangkan sifat kimia dalam makanan dan seterusnya memasak sendiri makanan untuk dipersembahkan kepada ibu bapa mereka.
Daripada memasak sehingga kepada hari usahawan, mereka melakukannya sendiri dengan pendekatan penyelesaian masalah. Anak-anak ini tidak duduk dalam kumpulan berdasarkan umur mereka, tetapi dibahagikan mengikut minat dan kebolehan.

KPM dan orang besar di Putrajaya harus segera sedar dengan perubahan global. Sistem pendidikan tradisional yang kita amalkan sebelum ini, terutama budaya merendah-rendahkan dan tidak mempercayai guru, adalah amalan lapuk yang perlu dihapuskan segera. Buat masa ini, satu-satunya pelaburan paling berbaloi perlu dilakukan adalah pelaburan kepada guru.

Bukan kepada peranti tab atau telefon pintar untuk diberikan kepada guru yang kemudiannya tidak mereka gunakan, bukan untuk membayar syarikat perunding seperti Kestrel Education, bukan untuk membayar kontraktor telekomunikasi seperti Yes, bukan projek Frog VLE, bukan kepada jenama baru untuk menaikkan Pembelajaran Abad ke-21 menjadi PAK21.

Pelaburan kepada jenama nampaknya tidak pernah menjadikan anak-anak kita lebih bijak dan pandai. Tetapi pelaburan kepada guru, dengan memberi mereka autonomi dan menjadikan mereka sebagai pemimpin komuniti semula seperti suatu masa dulu, adalah langkah pertama jika kita betul-betul mahukan anak kita mempunyai kebolehan untuk berfikir aras tinggi pada masa depan.



Kredit :
ZF Zamir
13 November, 2017
.
* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

Ulasan

BACAAN POPULAR

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Mahalnya Sumbangan PIBG

BAHAYA POLISTERIN: Tolong Berhati-hati