Kapal Sin Too


Memori zaman sekolah menengah kadang kala singgah satu persatu di benakku.

Antara memori manis adalah naik kapal Sin Too (aku tak ingat ejaan yang tepat, tapi bunyinya begitu).

Kapal itu ditambat di jeti kepunyaan orang melayu (satu-satunya keluarga melayu di kampungku) tidak jauh dari rumah panjang kami.

Jalan air adalah pengangkutan utama orang kampung ketika itu.
Sebelum dinihari kami dah bangun kerana kapal itu akan bertolak seawal jam 6.00 pagi. Jam 6.00 pagi di Limbang Sarawak seperti jam 5.00 pagi di Semenanjung Malaysia. Keadaan persekitaran masih sangat gelap.

Gambar hiasan. 
Kredit Kompas.

Aki (datukku) akan menemani kami bergerak dari rumah panjang ke jeti. Di tangan kanannya memegang tinggi lampu minyak tanah menyuluhi perjalanan kami.

Kami (aku, Simba dan Pauline) yang baru berusia 13 tahun berjalan begitu berhati-hati dalam cahaya lampu yang samar ditambah cahaya bulan. Tangan kami membimbit beg baju dan beg bekal.

Bunyi enjin kapal itu sangat nyaring. Kami seperti menjerit jika ingin berbual-bual. Biasanya kami mengambil tempat duduk di belakang sekali berdekatan dengan tandas. Tempat duduk di situ agak selesa; boleh melunjurkan kaki dan membaringkan diri. (Mengantuk sangat awak. Tapi bukan mudah untuk tertidur dalam perut kapal Sin Too yang bising ini).

Kapal Sin Too akan menyusuri Sungai Limbang hingga tiba di Pekan Limbang. Sepanjang perjalanan ia mengambil penumpang dari kampung ke kampung yang ingin ke pekan Limbang. Hanya beberapa nama kampung tepi sungai yang aku ingat. Kampung Merasam, kampung Ipai, kampung Pendam dan kampung Gadong.

Kapal ini bergerak sangat perlahan. Jika naik bot panjang, perjalanan hanya mengambil masa sejam untuk ke pekan; tetapi naik Sin Too perjalanan jadi lebih kurang 3 jam. Sangat 'puas' menikmati permandangan tepi sungai.

Apa yang menarik menaiki kapal ini ialah ruangnya yang luas. Orang kampung memilih menaiki kapal Sin Too kerana ia boleh memuatkan kargo yang banyak dan besar (dan kerana tiada pilihan lain).

Kami memang tiada pilihan lain waktu itu. Tiada jalan raya tidak berturap apatah lagi yang berturap. Orang kampung lebih suka naik Sin Too daripada naik bot sendiri. Jimat tenaga dan duit petrol.

Salah satu sebab seronok naik Sin Too kerana anak teruna tauke kapal ini sangat comel (hihihi). Anak teruna ini yang akan bergerak dari seorang penumpang kepada penumpang yang lain untuk mengutip duit tambang. Aku agak usianya ketika itu akhir belasan tahun. Orangnya agak pemalu. Tiada kata-kata keluar dari mulutnya. Namun penumpang akan sedia maklum jika dia berjalan mengutip tambang.

Aku tak ingat kadar tambang pada masa itu. Rasanya seperti RM2.00 seorang.

Destinasi terakhir kapal ini adalah pekan Limbang. Jam 2.00 petang ia akan bergerak balik  sehingga tiba semula di kampungku. Esok jam 6.00 pagi ia akan memulakan semula rutin mengangkut penumpang dan barang. Begitulah setiap hari sehinggalah jalan raya dibina sampai ke tepi sungai.

Memasuki alam sekolah menengah atas kami mula berkenalan dengan pemandu bas yang agak kacak bernama Ah Tay. Orangnya sangat ramah. Jika terserempak di Pekan Limbang dia pasti akan menyapa mesra kami.

Kami sudah pandai naik bas untuk balik ke asrama. Dan melupakan terus Sin Too.

Namun tidak mungkin aku akan melupakan jasa Sin Too yang berpagi-pagian mengangkut kami.

Sungguh indah perjalanan menuntut ilmu ini...
Sekolah rendah berjalan kaki meredah hutan
Sekolah menengah rendah naik kapal Sin Too.
Sekolah menengah atas naik bas antik Ah Tay.
Ke universiti naik 'belon'.

Sungguh indah...


Ulasan

BACAAN POPULAR

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Mahalnya Sumbangan PIBG

BAHAYA POLISTERIN: Tolong Berhati-hati