TIADA LELAKI DALAM RUMAH INI?


Malam itu seperti malam-malam biasa. Kami semua belum tidur lagi walaupun sudah hampir tengah malam. Ada yang masih bersembang sambil makan jajan di ruang tamu. Ada yang membaca novel/majalah sambil mendengar radio muzik. Tiada TV. Tiada gajet.

Tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu. Macam nak roboh gril besi yang memagari pintu cermin rumah sewa kami.

Kedamaian malam kami diganggu...

Tiada salam. Yang ada hanya ketukan dan jeritan "buka pintu cepat!". Jeritan tu berulang-ulang. Suara lelaki.

Kami tidak pernah menerima tetamu lelaki di waktu malam, apatah lagi lewat malam begini. Seorang rakan serumah kami yang berani cuba mengintai-intai melalui tingkap.

"Van Masjid UKM!"

Ahhh! Kami semua terkejut. Apahal orang masjid UKM datang malam-malam buta begini. Kami ada buat salahke?
Mataku terus terbayang ustaz, bapa angkatku. Orang kuat masjid UKM.

Cepat-cepat aku capai jubah dan tudung. Begitu juga yang lain.

Rakanku yang berani tadi tidak. Dalam keadaan marah dan geram, dia buka pintu.

"Apasal ketuk rumah orang macam nak roboh? Lepas tu tak pandai bagi salam?!"

"Kami dapat laporan ada lelaki di rumah ini" jawab lelaki masjid itu. Tegas tapi tenang.

Lelaki? Sejak bila ada lelaki tinggal di rumah ini?

 

"Tiada lelaki di sini. Kalau tak percaya, pergilah cari!" rakanku itu masih mewakili kami. Kami yang lain masih terpinja-pinja. Aku duduk membatukan diri dalam bilik tidur. Begitu juga beberapa rakan yang lain. Aku terbayangkan abah (ustaz) pada masa tu. Janganlah ada abah. Janganlah ada sesiapa yang mengenaliku. Aku berdoa dalam hati.

(Inilah padahnya meninggalkan sekolah pondok. Gatal sangat nak bekerja...)

Lelaki-lelaki lain terus mengeledah rumah sewa kami (Ada beberapa orang, aku tidak ingat berapa). Bilik tidur, bilik air dan almari habis digeledah. Kawasan belakang rumah pun mereka tinjau. Rumah sewa teres setingkat kami kedengaran meriah malam tu.

Aku percaya jiran-jiran di kiri kanan depan belakang turut mengintai dan memasang telinga.

Alhamdulillah. Tiada langsung kelibat lelaki mereka temui melainkan diri mereka sendiri saja.

"Siapa yang pandai-pandai buat laporan? Tak pernah ada lelaki tidur di rumah ini."

Sebenarnya banyak lagi 'debat' antara rakanku yang berani itu dengan salah seorang lelaki masjid tadi; tetapi banyak yang aku dah lupa. Sudah terlalu lama.

Apabila agak pasti tiada muka-muka yang aku kenal. Aku mula melangkah ke ruang tamu bersama rakan-rakan yang lain. Aku lihat rakanku yang berani itu bercekak pinggang 'berdebat' dengan lelaki masjid itu. Aku tak tahu dari mana dia dapat keberanian itu.

Mungkin berani kerana benar...
Aku?
Terkejut dan malu...
Malu kerana disergah malam-malam buta begini...hihihi

Aku (dan rakan-rakan) percaya dan pasti 100% ini mesti jiran-jiran yang buat laporan.
Kemungkinan besar.

Apa yang mereka dengki sangat pada kami? Keremajaan kami? (Hahaha)
Pekerjaan kami?

Kami hanya minah kilang.
Itulah identiti kami yang mereka kenal. Mereka tidak tahu kami pelajar UKM yang sedang menunggu hari graduasi. Mungkin..

Kami baru menyewa rumah tersebut. Itupun ejen yang tolong carikan. Kebanyakan kami sebelum ini tinggal di asrama/rumah sewa lain.

Kami semua pelajar daripada Sabah dan Sarawak. Tiada tiket tambang murah Air Asia pada masa itu. Hanya mengharapkan diskaun pelajar 50%. Itupun masih terlalu mahal bagi pelajar kampung seperti kami. Oleh itu kami memilih untuk bekerja. Tidak memilih untuk balik kampung.

Itu kisah kami pada pertengahan tahun 1999. Lebih 15 tahun yang lalu. 

Aku tidak berapa ingat berapa kami yang menghuni rumah sewa itu. Apa yang aku ingat, lelaki-lelaki masjid balik dalam keadaan 'hampa' pada malam itu kerana tidak menemui lelaki asing di rumah sewa kami. 

Sebenarnya memang pernah lelaki hadir ke rumah sewa kami tetapi bukan di malam hari. Hanya di siang hari. Itupun boleh dikira dengan lima jari. Lelaki yang biasa hadir adalah ejen kami; lelaki pertengahan umur berbangsa cina. Orangnya baik dan bersemangat. Dia yang membantu kami mendapatkan kerja secara kontrak di kilang-kilang di Bangi. Dia hadir untuk urusan dokumentasi saja. Dia biasanya duduk di lantai ruang tamu kami yang kosong. Pintu juga terbuka luas. Jiran-jiran tidak perlu mengintai. Mereka boleh melihat dengan jelas.

Kadang-kala ada beberapa orang pelajar lelaki Sabah hadir naik motor kapcai hantar makanan warung yang dipesan. Mereka tidak pernah melepasi pagar. Mereka hanya akan menghantar makanan di luar pagar. Itupun di siang hari. Setakat yang aku tahu, tiada seorang pun rakan serumahku pernah membonceng motor mana-mana pelajar lelaki tersebut.

Kami kecewa dengan jiran-jiran. Sudahlah tidak pernah bertanya khabar; tiba-tiba kami difitnah pula. 

Pagi esoknya kami semua berkemas dengan perasaan yang bercampur baur. Semua dah tak nak tinggal di rumah itu. Ejen telah mendapatkan rumah sewa baru untuk kami. Dia juga menyewakan van untuk kami berpindah. 

Sebenarnya belum sampai sebulan kami menyewa rumah tersebut...

Aku berputus asa untuk tinggal di luar. Aku tidak pernah tinggal di luar sepanjang belajar di UKM. Aku penghuni kamsis (kampung siswa) yang setia (dan terpilih...hihihi). Akhirnya aku memilih untuk tinggal dengan keluarga abah di Kajang sehingga hari graduasi.

Seawal jam 6.30 pagi aku akan menunggu bas kilang di perhentian bas di jalan utama...

Begitulah rutinku setiap hari sehingga tiba hari graduasi.

Bila aku teringat peristiwa malam itu, aku tersenyum sendiri. Lucu. Ada juga pengalaman kena serbu. Apabila aku ceritakan peristiwa itu pada abah satu hari, dia berdekih ketawa. Katanya, ada budak masjid cerita.

Hmmmm....

Ulasan

BACAAN POPULAR

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Panduan Menyiapkan Tugasan PT3 SEJARAH 2015

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Old Malaya Kopitiam GANTI Old Town White Coffee