Aku dan Cerita Penyamun

Bismillah...

Kadang kala aku merasa kasihan kepada anak-anakku kerana tiada kebebasan untuk bermain di luar rumah berbanding aku semasa kanak-kanak dulu. Kebebasan mereka telah 'dicuri' oleh ketidakselamatan negara hari ini. Negara kita tidak cukup selamat untuk kanak-kanak bermain bebas lepas terutama kanak-kanak yg tinggal di pekan dan di bandar. Cukup tidak selamat. Hampir setiap hari kita mendengar kes kanak-kanak dan remaja hilang.

Batrisyia dan Alif

Aku kadang kala bercerita kepada anak perempuanku betapa seronoknya zaman kanak-kanakku yang tinggal di rumah panjang.
Hanya satu rumah panjang itu yang ada di kampungku ketika itu. Letaknya menghadap ke Sungai Merasam yang cetek dan sempit. Ada rumah panjang lain tetapi kedudukannya amat jauh. Dipisahkan oleh beberapa bukit dan paya.

Aku bercerita yang aku biasa bermain dengan kawan-kawan di dalam hutan di belakang rumah panjang. Bermain pondok-pondok. Memanjat pokok jambu dan memakan buahnya di atas pokok. Bermain berudu yang hidup di dalam sampan-sampan yang terbiar. Mendayung perahu sampai ke mata air. Memanjat pokok ara dan terjun ke dalam sungai ketika air pasang. Bermain gelongsor di tebing sungai dan macam-macam lagi.

"Wow seronoknya"  Batrisyia seperti dapat membayangkan keseronokkan aku waktu itu.
"Tak ada orang jahatke?" tanyanya balik. 
"Tak ada. Di kampung mama tiada orang jahat."

Kampungku jauh di pedalaman. Jarang menerima tetamu. Tetamu biasanya datang dari rumah panjang yang satu lagi. Itupun jika ada majlis kahwin atau hari gawai. Tetamu luar yang biasa singgah dan bermalam di situ adalah mubaligh-mubaligh kristian. 

Bukanlah zaman kanak-kanakku tiada perasaan takut langsung dengan orang luar. Ada. Ibuku pernah bercerita mengenai penyamun. Penyamun suka menangkap kanak-kanak. Memenggal kepala mereka untuk dijual dan meninggalkan tubuh kanak-kanak begitu sahaja untuk dimakan ulat. Aku sangat mempercayai cerita mengenai penyamun ini. Begitu juga kanak-kanak lain. Oleh itu aku lebih suka naik sampan untuk ke sekolah berasrama berbanding berjalan kaki melalui jalan-jalan hutan.

Jika naik sampan kebiasaannya kami (kanak-kanak) akan ditemani oleh orang dewasa, tetapi jika melalui jalan-jalan dalam hutan kami akan bergerak berkumpulan tanpa ditemani oleh orang dewasa. 

Berjalan dalam hutan menuju ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 15km (aku kurang pasti jaraknya, tetapi memang terasa jauh) agak menyeramkan walaupun di siang hari. Sepatutnya apabila bergerak berkumpulan yang ramai antara 15-20 orang kanak-kanak berumur antara 7-12 tahun ianya tidak sepatutnya menyeramkan. Tetapi mengingatkan cerita penyamun itu ia menjadi menyeramkan. Kami cukup berhati-hati ketika dalam hutan. Kami amat kurang bercakap. Semua fokus kepada jalan. Budak besar berjalan di hadapan sekali dan di belakang sekali. Semua memikul beg galas masing-masing yang berisi pakaian dan keperluan asas lain. Aku biasanya berjalan di hadapan kakakku.

"Lari! Penyamun!" 
Entah siapa yang tiba-tiba menjerit. Jeritan itu menyebabkan semua orang panik dan ketakutan. Semua kanak-kanak berlari laju menuju ke arah sekolah yang pastinya masih jauh. Tiada lagi barisan. Semua telah lari lintang putang. Budak besar dan pantas pasti sudah jauh di hadapan. Aku yg ketika itu baru berusia 8 tahun, berbadan kurus dan kecil ketinggalan di belakang. Sambil menangis memikul beg aku cuba berlari selaju mungkin. Menyelamatkan diri. Apabila jatuh cepat-cepat bangun. Lopak becak semua diredah. Baju yg bersih menjadi kotor.
"Kakak tunggu!" 
Kakak aku yang sudah jauh berada di hadapan berlari mendapatkan aku. Dia tarik tangan aku.

"Cepat!" Kami terus berlari bersama. Kasihan kakakku. Dia menjadi lambat disebabkan aku.
Akhirnya semua selamat sampai di sekolah dalam keadaan termengah-mengah.
"Betulke ada penyamun?" seorang budak bertanya.
"Saya terdengar seperti ranting dipijak di belakang"
Pulakkk...

Adegan begitu memang kerap berlaku. Kami semua tinggal di asrama sekolah. Setiap jumaat minggu kedua persekolahan, kami akan balik ke kampung. Hari Ahad balik semula ke asrama. Kejadian begitu menjadikan aku kadang kala trauma berulang-alik ke sekolah melalui jalan-jalan hutan. Aku selalu berdoa air Sungai Merasam naik pasang supaya kami boleh bersampan pergi balik  sekolah.

Apabila rumah panjang di Sungai Merasam terbakar orang kampung berpindah ke kawasan baru di tepi Sungai Limbang. 
Jarak kampung baru ini agak berdekatan dengan sekolah iaitu kira-kira 8-10km. Namun kami masih lagi tinggal di asrama. Kadang-kala kami naik bot kerana Sungai Limbang lebar dan dalam. Sungai ini boleh dilalui oleh kapal-kapal. 

Kebiasaannya kami berjalan kaki. Tidak lagi melalui hutan yang tebal. Cuma melalui belukar, jambatan gantung dan denai di tepi sungai. Tiada lagi kes berlari takutkan penyamun. Tetapi kali ini berlari risau ditanduk lembu jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah panjang. Jadi kami cukup berhati-hati apabila melalui padang lembu itu. Tidak berpakaian merah. Jangan sesekali 'bermain mata' dengan lembu.

Macam-macam hal kan....

Sebenarnya pengalaman berjalan kaki pergi balik sekolah kebiasaannya menyeronokkan. Selalu menyeronokkan. Selalunya di pertengahan jalan kami akan transit di tepi sungai. Mandi manda dan makan buah-buahan hutan. Memang seronok sangat masa tu.

Sepanjang pengalaman manis itu, tiada seorang pun dikalangan kami pada masa itu yang pernah lemas, kena culik atau jatuh pokok. Alhamdulillah. Dunia masa itu begitu selamat.

Generasi baru rumah panjang

Generasi baru rumah panjang aku ketika ini tidak akan lagi merasakan pengalaman berjalan kaki melalui hutan untuk ke sekolah. Tentu tidak akan selalu berpeluang mandi manda dan bermain lumpur di sungai. Rumah panjang terbaru sekarang terletak di depan jalan raya berturap. Dunia telah berubah atas nama 'pembangunan'.

Bila difikirkan semula, cerita penyamun itu sekadar sebuah cerita; supaya kami lebih berhati-hati dengan orang luar.

Permainan outdoor yg paling disukai anak-anak.



Sekian, terima kasih kerana membaca entri ini:-)



Ulasan

  1. Sepertinya jaman dulu lebih aman dari berbagai macam kejahatan dibanding jaman sekarang. jaman dulu jalan kaki keman-mana tidak takut dan memang tidak pernah ada kejadian yang jahat berlaku.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul setya. Kesian anak2 zmn skg...byk hilang zamannya.

      Padam

Catat Ulasan

BACAAN POPULAR

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Mahalnya Sumbangan PIBG

BAHAYA POLISTERIN: Tolong Berhati-hati