Islam Pilihanku, Ayah Ibu


Bismillah...

Ketika menghadiri Kursus Asas Perbandingan Agama kelolaan Interative Da'wah Training (IDt), aku berpeluang berkenalan dgn seorang saudara baru (muslimah). Kebetulan dia duduk bersebelahan denganku. Orangnya masih sangat muda. Aku kira dia masih belajar lagi. Berbangsa cina. Aku tahu dia berbangsa cina apabila terdengar dia bercakap dengan seorang urusetia yg berniqab.

"Masih belajar ke? Kat mana?"
"UNITAR.."
"Berapa lama dah memeluk islam?"
"2 tahun.."
"Satu family atau awak seorang saja?"
"Saya seorang..."
"Parents dah tahu ke?"
"Belum.."

Aku tidak mahu bertanya lebih soalan lagi. Soalan selepas itu adalah sensitif. Lagipun sesi seterusnya sudah hendak bermula.

Soalan selepas itu seperti "Kenapa tidak memaklumkan parents awak?", "Apakah cerita/ kejadian/sebab awak memeluk islam?", "Kenapa tidak ajak parents awak memeluk islam?" dan bla bla bla.

Aku faham situasi muslimah ini; kerana aku pun pernah melaluinya dan akan selalu diasak oleh soalan-soalan yang sama. Setiap saudara baru punya sebab mereka tersendiri untuk tidak bercerita. 

Tidak seronok diasak dengan soalan yang sama. Mengulang jawapan- jawapan yang sama. Letih.

Aku hanya akan bercerita jika aku ingin bercerita. Mungkin mudah untuk bercerita mengenainya dalam blog ini. Namun untuk entri kali ini, aku hanya akan menjawab satu soalan  sahaja, "Parents dah tahu ke?"

Aku memeluk islam kira-kira 17  tahun lepas tanpa pengetahuan ibu bapaku. Meminta kebenaran mereka memang terpenting sebelum mengambil apa-apa keputusan, tetapi bukan untuk keputusan ini. Aku lebih mengenali kedua orang tuaku. Aku tahu mereka tidak akan membenarkan.

Merekalah orang pertama yang ingin aku maklumkan sebaik sahaja aku telah memeluk islam. Memang tidak sabar untuk berjumpa mereka. Memberitahu mereka. Satu semester aku merahsiakn pengislamanku. Selagi ianya masih rahsia, selagi itulah ia masih menjadi beban berat yang terpikul atas bahuku. Aku masih belum bertudung. Dan segalanya masih sembunyi-sembunyi.

Sebaik sahaja cuti pertengahan semester, aku terus terbang ke Limbang Sarawak. Tidak sukar menyembunyikan pengislamanku kerana hanya aku, nenek dan adik bongsuku yang tinggal di rumah di kampung. Ibu bekerja di bandar. Ayah tinggal di kebunnya. Adik beradik lain sudah ada kehidupan masing-masing. 

Namun aku masih solat sembunyi-sembunyi. Dalam bilik di tingkat atas. Siangnya bermandi peluh, kerana tiada elektrik, dan tentu sekali tiada kipas angin.

Aku memilih masa yang sesuai untuk memberitahu ibu. Tunggu ibu cuti dan balik kampung.
Ketika itu aku dan ibu sedang berehat-rehat di ruang tamu.

"Indai, saya ada sesuatu yang hendak diberitahu." (Lebih kurang begitulah dialogku yang sebenarnya ditutur dalam bahasa iban)
.
"Apa dia?"
"Sebelum tu saya nak minta maaf banyak-banyak dari hujung rambut sampai hujung kaki." (Nervousnya awak)
"............."
"Saya dah memeluk islam." Aku memberanikan diri. Terasa seperti beban berat terlepas dari bahuku. Terasa ringan sangat.

Tetapi bagi ibu, ia seperti kena tembak oleh peluru berpandu. Terus ke hatinya, dan luluh.
Ibuku diam.
Air mukanya berubah. Air mukanya sayu. Dia nampak sedih. Aku nampak air matanya jatuh ke pipi. Oh tidak! Aku merapatkan badanku ke badan ibu. Aku peluk bahu ibuku. Aku sapu air mata ibu.

"Walaupun saya dah memeluk islam. Saya masih anak indai. Indai tetap indai saya." Aku cuba memujuk dengan suara yang sehabis lembut.

Ibu bangun dan menuju ke dapur. Aku turut bangun mengekori ibu ke dapur. Ibu masih diam. Entah apa yang bergolak dalam hatinya. Apa yang pasti ibu sedang bersedih dan menahan rasa. Aku peluk ibu dan terus berusaha memujuk.

Selepas hari itu, ibu nampak mencuba bersikap redha.

Dia menunjukkan sokongan. Pesan ibu, bila dah islam biar betul-betul islam. Jangan tinggalkan solat. Berpuasa di bulan ramadan. Tutup aurat dan lagi dan lagi (yeayyy)

Ibu nampak tabah (dalam hati hanya Allah yang tahu)

Ibu belikan pinggan mangkuk dan periuk baru. Ibu belikan selipar untuk digunakan semasa dan selepas mengambil wuduk. Ibu belikan tikar lipat baru sebagai alas solat. Ibu juga yang mengejutkan aku supaya bangun solat subuh.

Ibu memang memberikan sokongan; dengan syarat berhenti bercakap mengenai kebaikan agama islam padanya. Dengan kata yang mudah, jangan berdakwah kepadanya (beratnya)

Ayah? (aka apai)

Ayah mengetahui pengislamanku sehari sebelum aku berangkat balik ke Semenanjung. Reaksi ayah agak berbeza. Dia marah dan meninggikan suara (malulah, dia penganut katolik yang taat, anaknya ini dulu pun aktif dengan aktiviti muda mudi gereja,  tiba-tiba...);
tetapi apa boleh buat, islam tetap pilihanku.
Dan aku amat bersyukur, marah ibuku tidaklah sampai menghalauku, marah ayahku tidaklah sampai mengangkat parang. Aku bersyukur dalam hal ini. Aku rasa bertuah.  Sangat bertuah.

Alhamdulillah, Allah memudahkan urusanku.

Berdepan dengan ibu bapa yang bukan islam pada awal pengislaman merupakan satu cabaran kepada semua saudara baru. Besar atau kecil cabaran ini hanya saudara baru itu yang lebih tahu.

Sebenarnya cabaran selepas itu jauh lebih besar. Cabaran dalam diri sendiri, Hati sentiasa berbolak balik.  Iman turun naik. Berpatah balik atau jalan terus?

Ramai yang lahirnya islam mengharapkan perubahan segera dan total daripada saudara baru. Sepatutnya tidak begitu. Seorang saudara baru seperti bayi yang baru lahir. Pembelajaran al quran, ilmu tauhid, ilmu fiqih, ilmu hadis, sirah nabi dan sejarah islam semuanya bermula sedari kosong. Sedikit demi sedikit. Praktisnya dalam kehidupan seharian juga sedikit demi sedikit. Ada yang cepat. Ada yang lambat. Bergantung kepada kelapangan, kudrat dan usaha. InshaAllah.

Kesilapan dan dosa-dosa yang lepas (ketika belum islam) walaupun berbekas tidak perlu diungkit. Semuanya telah berlalu. Apa yang penting ialah siapa kami hari ini. 

Semua saudara baru perlukan sokongan, bimbingan, bantuan saudara seagama yg sedia ada. Jangan berprasangka akan niat mereka memeluk islam. Apa yang ada  dalam hati itu urusan Allah.

Hidayah itu milik Allah. Beruntunglah mereka yang terpilih menerimanya😊


#gloriaabdullah


Ulasan

  1. As-Salam. Saya masih ingat kisah pengIslaman Muslimah, walaupun pada mulanya kita tidak rapat tetapi kita mengenali di antara satu sama lain. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. :-) tqvm sha krn byk mbantu & mbimbing sy dulu.

      Padam
  2. Alhamdulillah, semoga betul-betul menjadi muslim yang sejati

    BalasPadam

Catat Ulasan

BACAAN POPULAR

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Mahalnya Sumbangan PIBG

BAHAYA POLISTERIN: Tolong Berhati-hati