Khamis, 23 September 2010

MURTAD JANGAN DIPANDANG SEBELAH MATA


Gambar hiasan



Online Berita Harian 22.09.2010 antaranya memetik..

19 Disember sebutan semula permohonan 2 lelaki ingin murtad
"KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 19 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula permohonan dua lelaki untuk keluar daripada agama Islam.

Hakim Syarie Rosdi Harun menetapkan sebutan semula permohonan Mohd Rajiman Chin Abdullah, 48, dan Mohd Ramzan Maniarasan, 38, akan dibuat secara bersama pada tarikh berkenaan."
 

Sedih mendengar realiti begini, apatah lagi ianya berlaku pada saudara baru, saudara baru yang baru hendak berjinak-jinak mempelajari agama ALLAH ini. Entah di mana silapnya.
 
Benarlah maksud Surah Al An'am Ayat 125, maksudnya..
 
"Maka sesiapa yang ALLAH kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang ALLAH kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah ALLAH menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman"


Aku hanya hamba ALLAH yang lemah. Bukan satu bukan dua saudara baru yang telah berbalik kepada kepercayaan asal (nauzubillahiminzaliq). Di kampung halamanku juga ada berlaku. Dua orang saudara baru kembali kepada agama asal selepas bercerai dengan suami mereka.
 
Tidak mudah menjadi saudara baru. Terlalu banyak dan berat cabaran yang perlu dihadapi. Selain perubahan gaya hidup, penerimaan daripada keluarga kandung sendiri adalah yang utama. Biasanya cabaran ini dalam bentuk jangka pendek saja. Cabaran paling besar adalah mengekalkan nilai keimanan itu sendiri dan menjalani gaya hidup baru selari dengan islam. Sokongan keluarga dan saudara seagama amat penting.
 
Tidak bijak mengandaikan seorang saudara baru berubah secara total kepada gaya hidup islam termasuk penampilan 100 peratus. Semuanya bermula dari kosong, banyak yang perlu dipelajari sedikit demi sedikit. Pengalaman aku sendiri, perkara pertama yang aku pelajari adalah solat, solat adalah tiangnya. Kemudian baru belajar ibadah lain satu demi satu.
 
Sepuluh tahun selepas pengislamanku, adik bongsuku menyusul. Pengislamannya di luar pengetahuanku. Satu hari dia menelefonku "saya dah masuk islam di Brunei" Alhamdulillah. Aku sujud syukur. Perkara pertama yang aku nasihatkan padanya, "belajar solat" dan "jangan tinggal solat"
 
Buat semua saudara baru di luar sana, jangan terlalu berharap pada bantuan sesiapa. Jangan menjadikan makhluk ALLAH yang lemah di luar sana sebagai contoh. Carilah ilmu tentang agama ALLAH ini menggunakan saluran yang betul (aku dulu belajar di sebuah sekolah pondok terkenal di Kedah dan secara tidak formal, juga belajar dengan rakan-rakan yang celik agama semasa di UKM dan IP Gaya Sabah).  Cukuplah ALLAH penolong bagi kita, cukuplah Rasulullah SAW dan sahabat menjadi contoh dan teladan.



"Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (ALLAH) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku"  (Maksud Surah Al-Kafirun Ayat 1-6)

 


Gambar hiasan :  kanak-kanak islam di China


Moga ALLAH memelihara keimanan kita semua kerana tidak penting di mana kita bermula, apa yang penting di mana kita berakhir.
 
 
 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...