KEMANISAN HIDUP MISKIN


Melalui tepi-tepi jalan projek perumahan mewah aku melihat deretan rumah kongsi. Berkotak-kotak. Diperbuat daripada papan plywood murah. Aku memberitahu anakku, ibu pernah tinggal di rumah seperti itu.

Pernah tinggal di rumah kongsi. Aku melihat diriku di situ.


Memandu anak-anak ke sekolah di awal pagi, aku melihat beberapa orang ibu bapa merisikokan nyawa anak mereka membonceng motosikal tanpa helmet. Ibu bapa berhelmet, anak-anak tidak berhelmet.

Murah sangatkah nilai kepala seorang anak? Ingin aku menurunkan tingkap kereta dan menjerit kepada ibu bapa berkenaan; yang kepala anak mereka tiada dijual di kedai. Tapi aku belum sekuat itu. Aku hanya mampu berdoa mudah-mudahan keluarga itu sentiasa dalam perlindungan Allah. 

Melihat mereka seperti memutar kembali jam masaku. Aku terkenang akan ayah. Berpagi-pagi dia mengayuh basikal menghantarku ke pra-sekolah di sebuah gereja di bandar. Tiada helmet. Tetapi ayah mengayuh basikal dengan berhati-hati. Itulah saja pengangkutan kami pada waktu itu. Sebuah basikal. Jika satu keluarga ingin ke bandar, kami perlu berpeluh berjalan kaki.

Aku pernah tinggal di kawasan setingan. Tinggal dalam rumah satu bilik ketika ibu dan ayah masih bersama. Ketika ayah berkerja sebagai tukang sapu di bandar. Ibu suri rumah sepenuh masa.

Persekitaran rumah setingan bukanlah menyenangkan. Rumah kayu dibina rapat-rapat. Tiada kemudahan air bersih. Hanya mengharapkan mata air bukit. Tiada kemudahan elektrik. Kebanyakan rumah menggunakan lampu pam minyak tanah. Bagi yang lebih berkemampuan; menggunakan mesin penjana elektrik. Sistem perparitan dan pembuangan sampah juga tidak teratur. Memang kotor.

Tetapi semua itu tidak mematikan kegembiraan zaman kanak-kanakku bersama anak-anak jiran yang lain. Macam-macam permainan luar rumah kami main.

Kadang-kala kawasan pembuangan sampah atau bawah rumah pun menjadi taman permainan kami. Kami mencari botol-botol minuman kosong untuk dijual.

Aku pernah menyelongkar sampah demi duit sepuluh sen. Sesekali teringin makan makanan ringan seperti gula-gula dan jajan. Ada kedai runcit cina di kawasan setingan itu.

Aku tidak biasa meminta-minta pada ibu pada ayah. Aku tahu apa pekerjaan ayah. Gajinya kecil. Susu bayi dan beras pun mengharapkan sumbangan gereja setiap bulan.

Masa itu umurku 5-6 tahun. Adik-adik masih terlalu kecil; kurang mengerti apa-apa. Kakak tinggal dengan nenek di kampung. 

Melihat sesiapa yang menyelongkar sampah mencari tin-tin kosong hari ini demi sesuap nasi, seperti melihat diriku. Aku juga pernah menyelongkar sampah. Itu pekerjaan mulia, berusaha. Bukan mencuri dari sesiapa. Bukan meminta dari sesiapa.

Ayahku pernah bekerja sebagai tukang sapu. Ada sesetengah murid-murid 'menghina' pekerjaan ini dengan membuang sampah merata-rata sedangkan tong sampah di depan mata. Pantang 'hinaan' ini berlaku di depan mataku. Memang akan aku beri ceramah pendek percuma.

Apabila ibu dan ayah bercerai. Ayah kekal dengan pekerjaannya di bandar. Ibu pun mencuba nasib di bandar. Kami adik beradik mula berdikari di kampung. Tinggal bersama datuk dan nenek yang telah tua.

Ibu bekerja sebagai pencuci pinggan di restoran. Itulah pekerjaan terbaik yang ibu boleh dapat. Ibu tidak pernah habis sekolah darjah satu. Makan dan tempat tinggal percuma kata ibu. Waktu rehat ibu, ibu mengambil upah membasuh kain baju. Servis ibu tip top. Ibu membasuh baju di beberapa buah rumah. Waktu cuti sekolah, aku selalu melawat ibu. Melihat ibu bekerja. Melihat pengorbanan ibu berdikari untuk kami.

Aku selalu berkata pada diriku "aku tidak akan mencari rezeki dengan membuat pekerjaan ini apabila dewasa kelak."

Bukan aku membenci pekerjaan ibu. Tidak sama sekali. Pekerjaan ibu mulia. Menggunakan hasil pekerjaan inilah ibu membina rumah di kampung dan membesarkan kami. Kasihan ibu. Pekerjaan ini membuatkan jari jemari ibu kering; tanda ibu terlalu berusaha keras untuk kami.

Pesan ibu, belajar rajin-rajin dan dapatkan pekerjaan yang baik.

Aku biasa tidur berhimpit dengan ibu di dalam bilik tidur yang sempit di atas restoran (bilik rumah kedai). Berkongsi bilik air dengan pekerja-pekerja restoran yang lain. 

Persekitaran berbau tengik. Ruang tamu dijadikan stor. Tempat menyimpan barang-barang restoran. Selepas jam 1.00 pagi, ibu akan naik ke bilik membawa mee atau kue tiaw goreng.

Aku pernah tinggal di rumah atas kedai. Ramai muridku di sekolah sebelum ini tinggal di rumah atas kedai. Ada yang menyewa bilik. Ada yang menyewa rumah. Aku dapat membayangkan hidup 'berkongsi' dengan jiran-jiran di bilik sebelah. Bukan semua kanak-kanak setabah aku. Bukan semua kanak-kanak sefaham aku kenapa ibu atau ayah mereka memilih untuk tinggal di tempat sempit itu.

Kasihan anak-anak,

Mereka tidak boleh memilih siapa jadi ibu bapa mereka.

Apabila dianugerahkan dengan sedikit kemudahan hari ini, aku tidak akan pernah lupa dengan kepayahan hari semalam.

Keadaan di sekelilingku sentiasa mengingatkan aku. Sentiasa ada orang seperti aku (di masa lalu) di hari ini. Malahan ada yang lebih perit lagi hidupnya berbanding aku.

Tiada sesiapa memilih untuk dilahirkan dalam keluarga miskin. Tinggal di rumah kongsi. Tinggal di kawasan setinggan apatah lagi menjadi gelandangan. Tetapi kita masih boleh memilih sama ada terus bermalas-malas atau berusaha lebih untuk mencipta takdir kita sendiri inshaAllah.




Nota: 
Percayalah, dalam kesukaran hidup di masa lalu, sangat banyak kenangan manis. Semuanya pengalaman yang amat berharga. Bukan semua boleh ditulis dengan perkataan.


Ulasan

  1. Selama kita kenal semenjak belajar di UKM, ya kita kenal tetapi saya semakin mengenali Kak Nurul apabila saya membaca entri-entri blog Kak Nurul :)

    BalasPadam

Catat Ulasan

BACAAN POPULAR

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Mahalnya Sumbangan PIBG

BAHAYA POLISTERIN: Tolong Berhati-hati