Assalamualaikum YB, mana janji manismu?

(Edisi kemas kini 11 Julai 2017)


Bismillah dan Assalamualaikum wbt Dr Abdul Rahman Ismail (YB),

Tahniah di atas perlantikan YB sebagai Menteri Muda Pertanian Sarawak. Alhamdulillah akhirnya YB melangkah lebih jauh di dalam dunia politik. Tentu sekali ianya bukan perjalanan yang mudah. Daripada seorang doktor perubatan, seterusnya Ahli Dewan Undangan Negeri N79 Bukit Kota, hingga kini menyertai kabinet Negeri Sarawak. Tahniah sekali lagi :-)




Masih ingatkah YB dengan penduduk kampung saya? YB pernah melawat kampung kami di TR Rumpang Kampung Merasam Darat di Jalan Meritam sebanyak 2 kali (Pilihanraya Negeri = PRN 2006, dan 2011); iaitu semasa YB berkempen untuk pilihanraya DUN N79. YB bertanding atas tiket Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) salah satu parti dalam komponen Barisan Nasional (BN). Ingat lagi tak? Takkan tak ingat:-)

Mungkin saya patut lampirkan sedikit gambar untuk refresh ingatan YB:-)


Ingat? Rumah panjang kami terletak di depan jalan raya berturap.
Allahuakbar sangat mudah untuk dilawati. Alhamdulillah

Ini gambar rumah panjang kami pada 2013. 


Ini gambar rumah panjang kami terkini. 
Rasanya YB belum pernah singgah ke sini selepas berjaya menjadi menteri:-)

Ruai rumah panjang. 
Saujana mata memandang.
Alhamdulillah

Masih ingatkah YB?..
Setiap kali YB hadir berkempen di rumah panjang kami, YB akan melaungkan "Hanya BN yang boleh mentadbir Sarawak. Hanya BN boleh membuat perubahan."

Masih ingatkah YB permintaan penduduk kampung saya setiap kali YB hadir berkempen?
Iaitu kemudahan bekalan elektrik. Kemudahan yang kami di kampung ini tidak pernah nikmati sebelum dan selepas merdeka.
Dua kali YB hadir. Dua kali itulah orang kampung saya memintanya. Dua kali itulah orang kampung saya merayu. Tahu apa jawapan YB? Rasanya YB tidak lupa kerana orang kampung saya pun tidak pernah lupa. Setiap kali pilihanraya, BN pilihan mereka, kerana mereka percaya BN boleh menepati janji; boleh menolong mereka mendapatkan kemudahan elektrik yang diidam-idamkan selama ini. Kemudahan asas yang wajib kerajaan sediakan untuk rakyatnya.

Tahu tak apa jawapan YB? " Ya. Akan dapat elektrik " Empat perkataan ini orang kampung saya akan ingat dan sentiasa ingat sampai bila-bila YB.

Tetapi..
Sayang seribu kali sayang selepas YB menang 3 kali (2006, 2011 dan 2016);  3 kali janji tinggal janji. Tiada elektrik!; sedangkan dua buah kampung di kiri kanan ada kemudahan tersebut. Kenapa? Apakah usaha YB untuk membantu mendapatkan bekalan elektrik untuk kami? TIADA! Itu yang kami tahu, TIADA! (Jika ada usaha dari pihak YB, mohon dicerahkan supaya kami tidak terus dalam kegelapan)

Bukan sekali dua Tuai Rumah mencuba untuk bertemu YB selepas memenangi PRN; tetapi selalu. Namun kerana 'birokrasi', mereka 'gagal' berjumpa YB. Sehinggalah YB menang kali ke-3 (sebelum dilantik menjadi menteri), Alhamdulillah akhirnya mereka berjaya berjumpa YB untuk menuntut janji. Tahu tak apa jawapan YB?
Mari saya ingatkan. Ini jawapan YB, "walaupun penduduk rumah panjang mengundi BN, kampung merasam darat bukan kawasan ADUN saya, tetapi ADUN N80"

Allahuakbar!
Sebaik saja Tuai Rumah mendengar jawapan YB, dia dan beberapa orang penduduk berjumpa dengan YB Paulus Palu Gumbang (N80 Batu Danau); YB N80 juga menafikan kampung merasam darat di bawah ADUNnya.
Drama apakah ini? Drama korea? Sinetron? Tentu sekali bukan drama melayu. Drama melayu paling panjang hanya 20-25 episod; tetapi 'drama' ini berepisod-episod iaitu sejak 1998 (kenapa 1998? Nanti saya cerita). Panjangkan...

Orang kampung saya ditolak ke hulu ke hilir? Semasa pilihanraya bukan main berkata manis, selepas itu seperti habis madu sepah dibuang?
Akhirnya Tuai Rumah pergi berjumpa dengan Pegawai Daerah di Pejabat Daerah Limbang. Pegawai Daerah Limbang pada masa itu memaklumkan "YB mana yang hadir berkempen, YB mana yang orang kampung undi, dialah ADUN untuk kampung tersebut" Hasil semakan selepas pembahagian semula kawasan DUN, adehhh! Rupanya kampung saya bawah DUN N80 (selepas penstrukturan semula kawasan DUN semasa PRN 2016. Pelik, kenapa ADUN N80 menafikan. Mohon pencerahan ADUN N80). Jika pun kampung kami bukan bawah DUN N79 lagi, tetapi yang datang berkempen dan menabur janji pada 2 PRN sebelum 2016 adalah YB sendiri.

Saya sendiri pun pernah menghubungi YB pada awal tahun 2012 dari Kuantan Pahang bertanyakan "bilakah bekalan elektrik akan kunjung tiba di kampung saya". Jika jadi katakan jadi, tidaklah kami ternanti-nanti (gituuu). YB memaklumkan kampung saya tidak mendapat kemudahan elektrik kerana tanah adat di kawasan Kelampun masih menjadi kes mahkamah.
Allahu!
Undang-undang apakah yang menafikan hak penduduk asal (juga warganegara negara ini) untuk menikmati kemudahan ini? Hatta penduduk setingan di 'tanah haram' pun kerajaan sediakan kemudahan elektrik dan air, inikan pula penduduk yang membina rumah yang tegap, utuh dan tersusun di atas tanah adat? (orang iban panggil tanah adat TEMUDA)

Nampak tak temuda orang  tabun/murut? 
Iaitu kawasan yang merangkum Kuala Pepudan- Sungai Kuala Buang Sawang 
hingga ke Bukit Tadong Mang. 
Orang kampung saya menetap di Kelampun.

Kenapa tidak dibekalkan saja kemudahan tersebut? Kenapa nak tunggu? Tidakkah YB terfikir; Jika kemudahan elektrik disambung hari ini, siapa pun yang 'berjaya' memenangi tanah ini kemudian hari akan terus dapat menikmati kemudahan sedia ada, tanpa perlu lagi meminta-minta, turun naik pejabat sana sini.

Dengar sini YB, saya ceritakan sedikit 'sejarah' perjuangan orang kampung dalam usaha mendapatkan kemudahan elektrik ini...
(Harap YB suka sejarah)

Nenek moyang kami (orang tabun/murut) telah mengusahakan tanah ini untuk berpadi, berkebun sejak 7 dekad yang lalu sehingga KINI. Setiap keluarga dan waris ada temuda masing-masing untuk diusahakan sehingga KINI. Apabila jalanraya mula dibina sebelum 1998 (jalan raya tanah merah yang berdebu/berlopak. Kini dipanggil sebagai Jalan Meritam), penduduk kampung mula beransur-ansur membina rumah kebun di tepi-tepi jalan.

Pada tahun 1998 (maaf tidak ingat tarikh yang tepat. YB boleh semak dengan sesco), Syarikat Sesco Berhad (Sesco) pernah memanggil penduduk yang tinggal di sepanjang jalan meritam untuk menandatangani persetujuan penyambungan kemudahan bekalan elektrik. Peruntukan yang kerajaan negeri sediakan sebanyak RM32K untuk setiap keluarga (perlu lebih rujukan untuk jumlah yang tepat). SubhanaALLAH, penduduk kampung saya yang masa itu tinggal menetap di Kampung Bumbun sangat teruja. Teruja sebab akan dapat kemudahan elektrik yang selama bergenerasi mereka tidak pernah mendapat. Oleh itu orang kampung bersepakat untuk meninggalkan rumah panjang di Kampung Bumbun untuk pindah menetap di Kelampun.

Untuk makluman YB,
Tapak tanah rumah panjang sekarang adalah tanah temuda tuai rumah sebelum ini (mendiang Bali ak Anding). Tanah temuda ihsan mendiang. Pada tahun 2000 kerja menembok tanah di tapak rumah panjang ini dijalankan atas ihsan Ahli Parlimen Limbang pada masa itu Datuk James Wong (terima kasih datuk:-)). Perasmian pecah tanah dilakukan oleh penganti datuk iaitu Tuan Haji Hasbi bin Habibollah. Semasa acara pecah tanah itu, rumah panjang memang telah didirikan (iaitu rumah dapur) dan penduduk rumah panjang memang telah tinggal di situ.
Gembiranya orang kampung pada masa itu. Gembira tidak terkata.

Tetapi kegembiraan itu tidak lama, YB...
Belum sesco memulakan kerja-kerja penyambungan, hadir tangan-tangan 'jahat' menganggu gugat penduduk kampung. Mereka mengidamkan temuda di kawasan Kelampun ini. 'Tangan jahat' ini dianggotai oleh satu keluarga dari kampung lain. Cukup aku menamakan keluarga ini sebagai Kunak (bukan nama sebenar).
Mereka mendakwa nenek moyang mereka juga keturunan tabun dan pernah mengusahakan sebidang tanah di Kelampun ini sebelum merdeka. (Ya ke? Mana buktinya?)
Namun dengan semangat RENTAP orang kampung berkeras mempertahankan tanah ini.

Di sini saya ringkaskan perjalanan kes tanah ini untuk memudahkan YB memahaminya...
Perbicaraan pertama secara adat di depan penghulu, orang kampung saya kalah.

Perbicaraan kedua dibuat di Mahkamah Adat/Bumiputera, orang kampung menang. Saya dimaklumkan antara faktor kemenangan apabila semua yang terlibat turun padang. Pegawai-pegawai yang terlibat bertanya kepada kunak berkenaan tanah di kawasan berkenaan; keluasannya, siapa tanam ini, siapa usahakan itu; satu habuk pun Kunak tidak dapat menjawab. Tentu sajalah dia tidak boleh menjawab kerana dia dan keluarganya (termasuk datuk nenek mereka) tidak pernah mengusahakan apa-apa di tanah tersebut. Hanya pandai main tunjuk-tunjuk; tanah ini saya punya, tanah itu saya punya; tapi tak tahu pernah tanam apa, tak tahu pernah usahakan apa. Amboi amboi amboi senangnya mereka 'mencuri' hak orang kan YB.

Selepas itu, kunak membuat rayuan. Kes dibuka untuk dibicarakan semula di Mahkamah Adat/Bumiputera. Kunak berjaya memenangi perbicaraan. Bagaimana kunak boleh memenangi perbicaraan, Allahualam YB (memang banyak cerita, tetapi tidak boleh diceritakan di sini. Mohon pihak YB siasat). Namun orang kampung tidak semudah itu menyerahkan temuda yang telah diusahakan dan diwarisi turun temurun. Tidak semudah itu. Tidak akan sesekali menyerahkan tanah ini hingga ke titisan darah yang terakhir, inshaAllah. Mereka hanya perlukan peguam yang handal.
YB kenalkah peguam yang handal? Peguam handal yang menawarkan caj perkhidmatan yang rendah kerana orang kampung saya tidak akan pernah mampu membayar upah yang mahal. Mereka hanya bekerja sebagai petani. Mereka hanya bekerja sebagai buruh kasar. Allahu...

Persoalannya (yang bermain di benak saya dan juga orang kampung)...
Jika penyambungan kemudahan elektrik kepada orang kampung kami dibatalkan, ke manakah larinya peruntukan RM32K/keluarga selepas itu? Ke mana? Mohon pencerahan yang arif..

YB tahu tak....
Tuai Rumah kami dinafikan haknya menerima elaun sebagai Tuai Rumah selama 6 tahun kerana 'status' tanah adat ini. Seolah-olah tuai rumah kami bukan tuai rumah yang sah kerana berkampung di 'tanah haram'.
Selepas turun naik pejabat;
Alhamdulillah, akhirnya...
Tuai Rumah mula menerima elaunnya pada disember 2016.  Apa rasa YB (atau mana-mana pak menteri)  bekerja tapi tiada gaji? Rasa oren? Ke rasa peria?😂
Jika kedudukan tuai rumah sudah diiktiraf, kenapa kependudukan kami di kampung ini tidak diiktiraf? Kenapa kemudahan elektrik tetap tidak disambung? Kenapa?!

Tataplah wajah mulus anak keturunan tabun ini YB. 
Tataplah dengan mata hati. Tataplah dengan iman.


Tiadakah perasaan sayang atau sekurang-kurangnya kasihan melihat wajah-wajah tidak berdosa ini?
Entah generasi ke berapakah anak-anak ini. Allahu.. 
Apa yang pasti mereka adalah generasi yang lahir selepas 6 dekad negara kita merdeka..
TETAPI masih tidak dapat menikmati kemudahan elektrik di kampung ini!



Tiang elektrik ada. Tetapi tiada bekalan elektrik. 
Apa nama negara ini? Apa nama negeri ini? 
Sudah merdekakah negara ini? Sudah merdekakah negeri ini?
Tolong jawab YB
(sedihhhh sangat)

Sungguh menyedihkan mengenangkan nasib kebanyakan rakyat marhean yang tinggal di bumi 'merdeka' ini.
Sungguh sedih..
Sungguh kasihan..


YB tahu tak...
Tuai rumah kami seorang yang sangat cekal. Telah ditolak ke hulu ke hilir ke atas ke bawah banyak kali, beliau tetap terus berjuang walaupun beliau tidak berpendidikan tinggi seperti YB. Kekal berjuang. Masih berjuang. Beliau telah menghantar permohonan kemudahan elektrik sekali lagi dan permohonan ini berjaya. Alhamdulillah...
Oleh itu, baru-baru ini iaitu awal tahun ini pihak sesco dari Kuching (dan Limbang) telah melakukan kerja-kerja mengukur untuk penyambungan kemudahan elektrik ke rumah panjang.

YB tahu tak apa yang terjadi selepas itu?
Lagi drama...
Drama disambung oleh Faizul (bukan nama sebenar). Faizul atau Emik anak Kunak?

Faizul (penyambung 'perjuangan' mendiang ayahnya) telah  menghantar surat aduan ke pejabat Parti PBB di Limbang; 'TIADA PENYAMBUNGAN ELEKTRIK Kerana tanah masih lagi dalam kes mahkamah'. MasyaALLAH! Ujian lagi...
Akhirnya kerja-kerja penyambungan elektrik dibatalkan. Sadisss...

YB tak rasa pelik ke?
Kerana saya (dan tuai rumah) juga berasa pelik. Pelik kenapa PBB melayan aduan Si Faizul ini?
'Siapa' Si Faizul ini? Putera Raja? Putera Bunian? Anak emas? Abang kawasan? Tangan siapa di PBB yang 'gatal' sangat melayan surat si Faizul ini? Tangan siapa, YB? Mohon siasatan, mohon pencerahan...

Wahai Faizul, tiadakah secalit rasa berdosa, rasa bersalah terus menganiaya orang kampung (katanya kaum sendiri iaitu keturunan tabun/murut)?
Ke mana perginya rasa?
Ke mana perginya iman?

Ketahuilah olehmu Faizul ak Kunak "Barang siapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan mengalungkan tujuh bumi kepadanya" (HR Bukhari dan Muslim)

Buat YB yang dihormati,
Saya percaya YB boleh buat lebih baik lagi walaupun kampung kami bukan lagi dalam DUN N79 (mungkin. Saya kurang arif mengenai kawasan DUN). Tapi buatlah sesuatu atas kapasiti seorang menteri yang bertanggungjawab, atas rasa ihsan seorang hamba Allah swt yang beriman.

Buktikan laungan YB selama ini "BN boleh membawa perubahan" ke arah yang lebih baik itu benar. Buktikan hanya BN saja yang boleh mentadbir Sarawak itu benar. Tiada yang benar melainkan yang benar.

Selagi nafas dikandung badan, inshaAllah selagi itulah masih ada ruang dan masa untuk YB menunaikan janji yang telah ditaburkan kepada orang kampung saya dulu.
Janji ini bukan sekadar janji kepada manusia, tetapi janji kepada Allah. Tanggungjawab yang telah amanahkan oleh ALLAH kepada YB untuk berkhidmat kepada semua rakyat dalam DUN YB dulu.

Ketahuilah...
Setiap pemimpin akan menjawab di depan Allah SWT Pemerintah Sekian Alam akan pimpinannya kelak; adakah dia telah cukup berusaha? Tertunai ke tidak tanggungjawabnya?
Sudahkah YB ada jawapannya?



Saya percaya YB boleh. Boleh menjadi pemimpin yang adil demi ALLAH swt. Hanya pemimpin yang adil yang  akan berada dalam naungan Allah swt di akhirat kelak inshaAllah.

Akhir kata...
Terima kasih kerana membaca surat terbuka ini YB (terpaksa buka. Kalau tutup, siapa nak baca😂)

Selamat hari raya
Maaf zahir batin YB


Daripada saya rakyat biasa,
#gloriaabdullah
Sesungguhnya harta, pangkat adalah ujian di dunia yang fana, akhirat jua yang kekal abadi.
Mudah-mudahan kita semua mendapat keampunan dan rahmat ALLAH swt.




............................................................................
Rujukan :
1. Temubual bersama Tuai Rumah Rumpang ak Bali pada 1hb Julai 2017
2. Temubual bersama Jonathan Kayan ak Galih pada 8hb Julai 2017 di aplikasi whatsap
3. Misin ak Miang e.t.l (2016), Sejarah Penubuhan Kampung Merasam Darat, Limbang Sarawak
4. Machang ak Biluluk (1957), Surat Kebanaran Bahagian Sempadan Tanah Murut dan Bisaya , Batu Danau.
5. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Bukit_Kota_(state_constituency)
6. https://www.mysumber.com/prn-sarawak.html


.........................................................................
Penafian : 
Nama Kunak di sini tidak mewakili semua orang lain yang bernama Kunak. Harap maklum.



Ulasan

BACAAN POPULAR

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Mahalnya Sumbangan PIBG

BAHAYA POLISTERIN: Tolong Berhati-hati