JAIS Serbu Gereja - Penyebaran Agama Kristian atau Bantuan Ikhlas?




Baru-baru ini umat Islam Malaysia digemparkan dengan berita JAIS serbu gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya. Ramai yang memberikan pandangan dan komen mengenai kes serbuan ini. Saya pun masih lagi mencari berita yang benar, sebab banyak sangat versi cerita tentang serbuan tersebut dan susah hendak tentukan yang mana benar dan yang mana tidak benar. Seperti biasa dan telah saya jangkakan, mesti ada setengah pihak yang akan manipulasikan berita yang sebenarnya demi menjaga atau mencari pablisiti murahan. Sepatutnya kita semua kena cari jalan penyelesaian bukan buat masalah ini lebih parah lagi.

Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali berkata JAIS melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya semalam kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam. Tindakan ini dilakukan atas aduan orang ramai yang memberikan maklumat menyatakan bahawa kitab Injil dalam bahasa Melayu diagihkan kepada orang Melayu di majlis tersebut
dan ia mempunyai kaitan dengan proses penyebaran Agama Kristian kepada umat Islam tersebut. (Baca Laporan Penuh Di Sini)


Apabila diserbu, pihak penganjur majlis makan malam menegaskan bahawa tidak ada kena mengena untuk penyebaran Agama Kristian kepada umat Islam yang hadir dalam upacara tersebut. Tujuan jemputan tersebut adalah untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan walaupun berlainan agama. Apa-apapun perkara ini masih lagi dalam siasatan dan kita tunggu komen dari pihak JAIS.


Sebenarnya, isu penyebaran dakyah Kristian ini telah lama berlaku dalam negara kita ini, dulu kita pernah dengar dengan kes Aishah Bukhari, Azlina Jailani dan sebagainya. Ini semua membuktikan bahawa perkara ini telah berlaku dan masih berlaku dalam negara kita. Apa peranan kita sebagai umat Islam untuk mengatasi masalah ini? jangan anggap ini masalah JAIS atau JAKIM sahaja, masalah ini merupakan masalah kita semua sebagai umat Islam. Bila berlaku sahaja JAIS serbu gereja, kita umat Islam di bulan yang mulia ini bertekak dan menuding jari terhadap sesama kita. Ini semua adalah untuk mencari untuk politik murahan. Ini isu agama, bukan isu politik, sepatutnya kita bertindak atas dasar agama.


Sepatutnya kita tanya diri kita dahulu sebagai umat Islam, kenapa masih ada orang Islam yang menerima bantuan kemiskinan dari Kristian? Jawapannya sebab umat Islam sekarang ini hanya mementingkan diri sendiri, cukup dengan harta atau kekayaan yang dimiliki sendiri dan membiarkan bangsa seagama hidup melarat. Islam telah ajar umatnya dengan budaya bersedekah atau mengeluarkan zakat. Kalau semua umat Islam mempunyai hati dan perasaan ingin membantu dan menjalankan kehidupan secara ukhuwah Islamiah, maka tidak ada dikalangan umat Islam hidup melarat di merata-rata tempat. Begitu juga dengan wang zakat yang telah dikumpulkan berbilion ringgit di setiap negeri dalam Malaysia. Jika ini diagihkan mengikut asnaf yang lapan, maka tiada umat Islam yang miskin dan melarat.


Saya sangat setuju dengan pendapat yang diberikan oleh Prof. Madya Dr. Asri Zainal Abidin (Klik Sini) bahawa susah bagi orang yang berkelayakkan untuk mendapat zakat kerana terlalu banyak birokrasi yang perlu dilalui oleh mereka. Minta zakat susah betul hendak dapat, kadang-kadang lajak berbulan-bulan, tapi dapatnya berapa ratus sahaja. Jika dihitungkan memang tidak berbalui dengan apa yang telah diusahakan. Pernah terjadi kepada diri saya dahulu semasa memohon zakat, dalam borang tersebut mestilah mendapatkan tandatangan ketua kampung atau JKKK. Ada setengah JKKK mereka lihat dulu latar belakang orang yang memohon, kalau keluarga sokong pembangkang, maka dia tidak mahu menyokongnya. Alasan mereka, kalau hendak minta peruntukan kerajaan, kena sokong kerajaan.


Ini merupakan antara punca menyebabkan orang Islam kita menerima bantuan dari pihak Kristian, sebab yang Islam punya susah banyak sungguh birokrasinya. Pihak Kristian tidak payah borang, cukup hanya hadir di gereja sahaja, boleh dapat duit. Bagaimana mereka yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat boleh termakan dengan dakyah Kristian? Sebab Kristian mudah menghulurkan bantuan. Cara ini juga merupakan peluang untuk mereka menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam. Kaedah ini telah lama digunakan oleh pihak Kristian untuk menarik umat Islam yang mengalami kesempitan kehidupan. Mereka memberikan bantuan RM 50.00 sehari kepada umat Islam yang hadir ke gereja. Ada sebahagian mereka yang berjaya memurtadkan umat Islam dengan bayaran yang diberikan atas kejayaan mereka itu sebanyak RM 300.00 bagi seorang Islam yang telah dimurtadkan.


Mereka mendekati umat Islam yang mengalami masalah percintaan, diabaikan oleh ibu bapa, banyak hutang, gelandangan dan sebagainya. Mereka mendekatkan diri dengan cara yang lembut dengan menggunakan pendekatan nasihat, ambil berat, kaunseling dan sebagainya. Dalam itu juga, mereka didedahkan dengan dakyah-dakyah Kristian yang mengambarkan bahawa Islam dengan Kristian tiada beza dan akhir mereka dibawa ke gereja sehingga memeluk Agama Kristian. Saya difahamkan juga, sebelum mereka memeluk agama Kristian, mereka diberi minum dengan air yang telah disyihirkan. Kesan air ini boleh menyebabkan lidah menjadi hitam, tidak dapat mengucap, lupa keluarga, lupa ibu bapa, mereka hanya ingat dan sebut jesus dan memberontak untuk hadir ke gereja.


Kalau mengikut hukum orang Islam menerima bantuan dari pihak Kristian itu tidak salah dan tidak berdosa. Cuma ada beberapa perkara yang perlu kita ingat bahawa dakyah mereka itu cuba disampaikan dengan cara yang cukup halus dan memang susah untuk kita kesan. Orang yang menerima bantuan itu sepatutnya sedar dan bersedia dengan keyakinan yang kuat bahawa “aku adalah Islam dan tidak akan mengubah akidah aku walaupun sehingga nyawa aku melayang sekalipun”.


Sebagai umat Islam yang bijak, kita juga hendaklah selesaikan masalah ini dengan penuh berhemah, tidak menyakiti hati mana-mana pihak, Islam tidak bermusuh dengan mana-mana agama, sebab Islam menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua agama. Firman Allah yang bermaksud :


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa Yang kamu sembah, dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah, dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat, dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat, bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku". (maksud Al-Kafirun 1-6)


Marilah kita bersatu padu dalam mengkaji dan mencari kaedah mengatasi masalah ini supaya ia tidak berlarutan. Jangan saling tuduh menuduh antara satu sama lain. Orang bukan Islam diluar sana sedang ketawa dengan karenah umat Islam sekarang dan mereka menanti peluang keemasan ini untuk menyebarkan dakyah mereka. Jika kita masih bermusuhan lagi, maka satu hari nanti orang melayu tidak boleh disebut Islam lagi kerana waktu itu sudah ramai orang melayu telah Kristian. Ini semua berpunca dari kita semua. Berubahlah sebelum terlambat atau sebelum nasi menjadi bubur.





Sumber : Ustaz Nor Amin "Pandangan Ustaz Tentang JAIS Serbu Gereja Methodist"

Ulasan

BACAAN POPULAR

Kod Makanan E471, E472 - Halal atau Haram?

Panduan Menyiapkan Tugasan PT3 SEJARAH 2015

Kawan Terbaik Sekolah Menengah

Pesanan Buat Semua Pelajarku

Old Malaya Kopitiam GANTI Old Town White Coffee